YDP AGONG Percaya Keupayaan Kerajaan Sedia Ada, Ahli Politik Hentikan Segala ‘Politicking’

YDP AGONG Percaya Keupayaan Kerajaan Sedia Ada, Ahli Politik Hentikan Segala ‘Politicking’

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah bahawa Baginda mempercayai keupayaan Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini dari terus merebak dalam negara ini.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan DARURAT di Malaysia buat masa ini.

Dalam satu kenyataan sebentar tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan ketika ini telah berjaya menangani penularan wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak COVID-19 ini dari terus merebak…

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa baginda Agong bertitah mengingatkan semua AHLI POLITIK untuk memberhentikan segera segala ‘Politicking’ yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya AHLI-AHLI PARLIMEN meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

Oleh itu, baginda Agong menyeru seluruh rakyat, tanpa mengira latar belakang dan khususnya fahaman politik untuk mengenepikan segala perbezaan dan perbalahan untuk bersatu padu dan bersatu hati memainkan peranan masing-masing dalam membantu Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa membendung wabak COVID-19 di negara ini.

Sumber foto dipetik daripada kenyataan Istana Negara hari ini (25 Oktober 2020)..