Polis Sekat Laluan Masuk Ke Parlimen Selepas Ahli Pembangkang Nekad Memasuki Bangunan...

Polis Sekat Laluan Masuk Ke Parlimen Selepas Ahli Pembangkang Nekad Memasuki Bangunan Itu

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Polis mengawal ketat laluan masuk ke Parlimen selepas beberapa Ahli Parlimen Pembangkang dilihat cuba memasuki bangunan itu, pagi ini.

Kesan daripada perkara ini, beberapa jalan utama menuju ke Parlimen telah ditutup yang mana menyebabkan kesesakan lalu lintas sekitar Jalan Parlimen.

Ini susulan daripada penangguhan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dijadualkan hari ini.

Walaupun telah dimaklumkan awal berkenaan penangguhan itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang nekad untuk hadir ke Parlimen juga pada hari ini.

Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka memulakan perarakan mereka ke Parlimen dalam protes meminta peletakan jawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet Menterinya.

Teriakan “Reformasi”, “Hidup Rakyat” dan “Daulat Tuanku” bergema dalam perarakan yang turut disertai bekas Perdana Menteri; Dr Mahathir Mohamad, Ketua Pembangkang; Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP; Lim Guan Eng, Presiden Parti Warisan Sabah; Shafie Apdal dan Presiden Amanah; Mat Sabu.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang, yang diketuai Dr Mahathir Mohamad (memakai kot) dan Anwar Ibrahim (di sebelah kanannya), sebelum berarak dari Dataran Merdeka ke Parlimen…

Difahamkan semua Ahli Parlimen Pembangkang bersurai selepas gagal memasuki bangunan Parlimen selepas rundingan di antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan wakil pihak berkuasa gagal mencapai kata sepakat.