RAMALLAH – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menggesa Israel mematuhi perjanjian dengan Palestin dan meneruskan proses damai yang sudah terhenti sejak tujuh tahun lalu.
Memetik laporan Bernama, Abbas membuat kenyataan itu semasa pertemuan dengan Pemangku Penolong Setiausaha Biro Hal Ehwal Asia Barat, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Yael Lempert, di Ramallah Tebing Barat, lapor Agensi Berita WAFA.
Pada pertemuan itu, Abbas turut memberi taklimat mengenai perkembangan terkini di wilayah Palestin, terutama amalan sebelah pihak Israel terhadap Palestin yang menjejaskan penyelesaian dua negara.
“Adalah perlu untuk menghentikan tindakan Israel dan mematuhi perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak bagi memulakan proses politik sebenar berdasarkan pelaksanaan resolusi antarabangsa,” katanya.
Pertemuan Abbas dengan Lempert itu diadakan sehari sebelum pertemuannya dengan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, yang tiba di Israel kelmarin untuk membincangkan beberapa isu, termasuk proses damai itu.





