KUALA LUMPUR – Pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara Lee Zii Jia kini boleh beraksi kembali sebagai pemain professional setelah mendapat restu daripada Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Menurut laporan Bernama, Mohamad Norza mengesahkan perkara tersebut selepas dihubungi untuk mendapatkan penjelasan mengenai posting Zii Jia di akaun Facebooknya semalam.
Menerusi hantaran Facebook Zii Jia, beliau menyatakan bahawa hasratnya untuk kembali menjadi pemain professional telah mendapat restu daripada Mohamad Norza selepas sesi perjumpaan diantara ibubapa beliau bersama Mohamad Norza.
Zii Jia berkata, beliau lega dan gembira akhirnya isu berkenaan dapat diselesaikan dengan BAM selepas mendapat restu Mohamad Norza untuk kembali menjadi pemain professional…
“Saya sentiasa berterima kasih dengan bimbingan dan jagaan Tan Sri dan memberikan saya peluang untuk berkhidmat kepada negara yang saya cintai
Pencapaian saya di masa lalu dan akan datang akan sentiasa merupakan hasil usaha Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia,” kata Zii Jia.
Ujarnya lagi, beliau akan kembali beraksi dengan menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Selangor dari 15 hingga 20 Feb ini.
Pemain nombor satu itu juga menggesa agar semua orang akan sentiasa terus menyokong BAM dan pemaing professional negara yang diasah oleh BAM.
Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunos berkata kedua-dua pihak berpuas hati dengan hasil mesyuarat, yang diadakan bagi membincangkan rayuan daripada pemain nombor tujuh dunia terhadap keputusan BAM menggantung beliau daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa kerana meletakkan jawatan daripada BAM.
Jumaat lepas, Jahaberdeen mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa dari 18 Jan.
Ini berikutan keputusan pemain berusia 23 tahun itu menyerahkan surat peletakan jawatan daripada mewakili BAM pada 11 Jan untuk menjadi pemain profesional dengan alasan beliau tidak dapat menahan tekanan dan gaya hidup dengan disiplin yang ketat dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Bagaimanapun, BAM mengesahkan semalam bahawa Zii Jia telah menghantar surat rayuan terhadap keputusan badan sukan itu dan berjanji untuk mencari penyelesaian terbaik dengan segera.





