Dua Kluster Institusi Pendidikan Baharu, 50 Orang Dijangkiti

Dua Kluster Institusi Pendidikan Baharu, 50 Orang Dijangkiti

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 50 orang dijangkiti COVID-19 dalam dua lagi kluster jenis institusi pendidikan yang diisytiharkan di Kota Marudu dan Keningau hari ini.

Kluster Kampung Lampada melibatkan warga SK Lampada di Kota Marudu.

Jurucakap harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, indeks kes adalah seorang pembantu pengurusan murid asrama sekolah berkenaan berumur 36 tahun.

“Beliau dikesan melalui saringan bergejala pada Selasa. Saringan terhadap kontak rapat telah mendapati pertambahan 24 kes. Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif ialah 25 kes positif,” katanya.

Kluster Bukit Langsat pula melibatkan pelajar di dalam Asrama Perempuan, Blok Cempaka dan Blok Dahlia, Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Keningau.

“Indeks kes adalah seorang pelajar perempuan, 21 tahun, yang dikesan melalui saringan bergejala pada Khamis lalu…

“Saringan terhadap kontak rapat telah mendapati pertambahan 24 kes. Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif ialah 25 kes,” tambah Masidi.

Beliau berkata semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya manakala kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin.

Dalam pada itu, sejumlah 99 peratus kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2 sahaja mankala terdapat enam (6) kes dalam Kategori 3, dua belas (12) kes dalam Kategori 4 dan lima (5) kes dalam Kategori 5.