KUALA LUMPUR – Aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ mulai 1 April ini.
Walau bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa mengumumkan perkara berkenaan menjelaskan pelaksanaan dan prosedur operasi standard (SOP) akhir untuk masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing.
Beliau berkata isu merapatkan saf ketika solat berjemaah adalah satu isu besar yang sering diperkatakan oleh rakyat yang mahu ibadah dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

“Bagaimanapun, oleh kerana Perlembangaan Persekutuan menyatakan perkara berkaitan agama Islam terletak di bawah kuasa Sultan di negeri-negeri, maka walaupun saya sebut tiada lagi penjarakan fizikal (ketika solat), itu adalah cadangan daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi penentuan akhir terletak pada kerajaan negeri masing-masing,” katanya pada sidang media khas di Bangunan Parlimen hari ini.





