KUALA LUMPUR, SABAH – Tugasan merawat kesihatan rakyat Malaysia bukannya perkara yang mudah terutamanya apabila menghadapi kezaliman daripada pihak atasan.
Begitulah luahan bekas doktor pelatih pediatrik, Muhammad Farhan, 34, kepada sumber Berita Harian pada Sabtu.
Layanan kejam diterima sistem pengurusan negara ini, dakwa beliau, sehingga mengakibatkannya mengalami gangguan bipolar tahap dua serta pernah cuba mengambil nyawanya sendiri beberapa kali.
Beliau berkata sehingga 16 orang pesakit terpaksa ditanggungi seorang diri.
“Bagi memenuhi tuntutan itu, saya terpaksa masuk kerja seawal jam 3 pagi, sebab kalau datang waktu bekerja jam 8 pagi, saya tidak sempat buat clerking untuk lapan pesakit.
“Jadi, setiap hari saya mula bekerja jam 3 pagi dan pulang pula selewat jam 6 petang atau 7 malam,” katanya..
Shif lebih 24 jam itu terpaksa dipikul membisu namun Farhan tidak melihat keadilan apabila atasannya lebih menyegan “kaki kipas” dan anak bertalian saudara dengan golongan elit negara.
“Ada satu masa saya kemalangan motosikal sehingga mengalami luka teruk. Saya dapat cuti sakit tiga hari dan apabila saya serahkan sijil sakit kepadanya.
“Dia memberitahu saya hanya boleh cuti sakit sehari saja.
“Demi tanggungjawab, saya menuruti arahan itu dengan tetap datang bertugas seperti biasa.
“Lebih menyedihkan, saya mendapat tahu dia (doktor terbabit) bercuti seminggu untuk berkahwin dan masa itu, saya bercakap kepada diri di manakah perikemanusiaan dia sebagai doktor.
“Dia adalah seorang doktor yang tanggungjawabnya merawat pesakit tapi apabila rakan sekerja sakit, dia tak kisah.
“Awak tahu kenapa ini berlaku, sebab dia rapat dengan doktor pakar,” katanya kepada sumber.
Beliau berkata perasaan melawan mereka (pegawai perubatan) yang akan tentukan penilaian, sia-sia kerana jika melawan, beliau akan diugut dan digagalkan.
Tekanan yang dialami mula disedari orang sekeliling pada penghujung latihan di wad pediatrik.
“Ketika itu saya kena buat VIVA (ujian lisan latihan praktik) dan masa saya menjalani peperiksaan dengan doktor pakar, saya jadi kosong, saya tak boleh menjawab dan akhirnya gagal.
“Bermula detik itulah, lama kelamaan perasaan saya menjadi kosong, bukan kerana marah. Masa itu, saya sekadar datang kerja tetapi tidak rasa apa-apa dan berlarutan selama sebulan,” katanya.
Merasa kosong adalah simptom paling ketara invidu dibawah gangguan depresi.
“Malang buat saya apabila didiagnosis, saya mengalami bipolar. Akhirnya lesen perubatan saya ditarik…
“Saya tanya mereka, apabila lesen saya ditarik, macam mana nak kerja? Mereka jawab, you work as a houseman or you quit (awak bekerja sebagai doktor pelatih atau berhenti). Itu jawapan mereka. Sangat kejam,” katanya.
Dari 2013 hingga 2015, Farhan ditukarkan ke pelbagai jabatan dan tidak dibenarkan menyentuh pesakit walaupun bergelar seorang doktor.
“Saya reda dengan keputusan itu dan tetap bertugas seperti biasa sehingga saya menerima surat pemberhentian atas alasan tidak menghabiskan tempoh latihan. Hakikatnya, bukan saya tak nak habiskan, mereka tak beri saya lesen untuk itu,” tambah beliau.
Terdahulu seorang doktor pelatih dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan apartmennya.
Kematian pegawai perubatan (houseman) itu hanya tiga minggu selepas dia dihantar ke sebuah hospital.
Sebelum ini, dilaporkan seorang lagi doktor pelatih yang meletak jawatan di hospital sama telah meninggal dunia secara mengejut pada Disember 2020.
Isu doktor pelatih di Malaysia dibuli dan diberikan bebanan kerja yang melampau semasa latihan wajar diselesaikan secara tuntas oleh pihak kerajaan.





