KOTA BHARU, KELANTAN – Seorang petinju Muay Thai warganegara Thailand telah meninggal dunia selepas mengalami pendarahan dalam otak apabila tewas di tangan petinju tempatan dalam Kejohanan Muay Thai Ambang Merdeka 2022 di padang sebuah kolej di Kampung Che Deris, Badang pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan kecemasan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) pagi Ahad, akibat pendarahan otak.
Semasa dalam pertandingan, mangsa Kittichai Chaengkhao, 28, tidak sedarkan diri selepas tewas dengan lawanya…
“Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Chumpong, Thailand, berlawan dengan seorang peserta dari Kuala Lumpur, tetapi kemudian tewas dan jatuh sebelum tidak sedarkan diri dan dibawa mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau pada mulanya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Badang pada jam 1 pagi semalam sebelum dirujuk ke HRPZ II tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 10.57 pagi, selepas beberapa jam bertarung nyawa akibat berlaku pendarahan di dalam otak.
“Sebaik segala urusan siasatan dilakukan, jenazah dibawa pulang untuk diserahkan kepada waris melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang…
“Siasatan mendapati insiden ini tidak membabitkan sebarang unsur jenayah sebaliknya kemalangan ketika bersukan selain penganjur pertandingan juga mempunyai permit lengkap,” katanya.





