
MALANG, INDONESIA – Seramai 127 orang dilaporkan terkorban dalam insiden rusuhan penyokong ketika perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya di Stadium Kanjuruhan, Malang malam tadi, demikian kata Ketua pejabat kesihatan Malang, Wiyanto Wijoyo.
Penyokong kedua-dua kelab berkenaan bertempur selepas Arema tewas 3-2 dalam perlawanan di Malang, Jawa Timur.
Walaupun dilaporkan seramai 127 orang terkorban, pihak berkuasa masih mengenal pasti jumlah mangsa yang cedera.

Pergaduhan bermula selepas ribuan peminat Arema masuk ke dalam padang susulan kekalahan pasukan mereka.
Pemain-pemain Persebaya segera meninggalkan padang, tetapi pemain Arema yang masih berada di atas padang turut diserang.

Menurut laporan, kematian turut berpunca daripada tindakan pihak polis melepaskan gas pemedih mata sehingga menyebabkan situasi menjadi kelam-kabut.





