SABAH MEMUJI PEMBENTANGAN BAJET 2023 NEGARA

SABAH MEMUJI PEMBENTANGAN BAJET 2023 NEGARA

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Belanjawan Negara 2023 yang dibentangkan pada hari ini (Jumaat) adalah konsisten dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan tiada siapa yang terpinggir dalam arus perdana pembangunan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Ia adalah kesinambungan momentum pemulihan negara daripada wabak yang kini dalam fasa endemik dan Kerajaan Negeri mengalu-alukan bajet inklusif seperti ini,” katanya.

Mengulas selepas menonton siaran langsung pembentangan Belanjawan Negara oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Menara Kinabalu hari ini, Hajiji menyambut baik peruntukan RM6.3 bilion untuk Sabah tahun depan.

“Ia adalah peningkatan sebanyak 20.45 peratus berbanding RM5.2 bilion yang diperuntukkan kepada Sabah dalam Belanjawan Negara tahun ini…

“Sabah mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk terus memberi penekanan kepada pembangunan negeri,” katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen hari ini (7 Okt) berkata bajet pada tahun ini bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’…

Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memastikan keselamatan Sabah dengan menaik taraf di Esscom Lahad Datu serta menyediakan aset keselamatan tambahan dan pembinaan hospital lapangan tahun depan.

Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM1.2 bilion untuk membaiki sekolah usang yang merangkumi 123 projek di Sabah serta RM430 juta lagi untuk membina lima sekolah baharu di seluruh negara yang turut merangkumi sebuah sekolah di Sabah iaitu SMK Nabalu di Kiulu tahun depan.

Ketua Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi jaminan peruntukan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, yang dijangka siap pada 2024.

Projek lebuhraya Pan Borneo Sabah…

Turut disebut pembangunan Bandar Sempadan termasuk pembinaan jalan raya menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris di Indonesia.

Tengku Zafrul juga menyatakan RM250 juta akan diperuntukkan untuk membangunkan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar tahun depan.

“Sabah juga mengalu-alukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu meringankan kesusahan rakyat yang boleh dilihat melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melibatkan lebih RM10 bilion tahun depan,” katanya.

“Saya mengalu-alukan subsidi elektrik sehingga RM40 kepada isi rumah dalam senarai e-kaseh,” katanya.

Katanya, Sabah juga mengalu-alukan pelbagai inisiatif dalam sektor pelancongan, yang diharapkan dapat membantu meningkatkan pendapatan sektor itu di negeri ini tahun depan.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir dan Datuk Wetrom Bahanda, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Rosmadi Sulai dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.