KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal membincangkan dan menentukan tarikh penting Pilihan Raya Umum (PRU) – 15 menerusi satu mesyuarat khas yang bakal dilaksanakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata mesyuarat terbabit akan dilaksanakan susulan Proklamasi Pembubaran Parlimen Ke-14 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata mesyuarat terbabit juga akan turut mengambil kira pelaksanaan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.
SPR memaklumkan permohonan undi pos bagi dalam dan luar negara untuk PRU15 telah dibuka serta-merta namun tarikh tutup permohonan berkenaan akan dimaklumkan kelak selepas mesyuarat bagi menentukan tarikh pilihan raya kelak.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan permohonan undi pos bagi Kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli atau pegawai SPR, anggota polis dan tentera, serta petugas media dikehendaki untuk memohon secara manual menggunakan Borang 1A.





