KUALA LUMPUR – Parti Berjasa Malaysia (BERJASA) mengumumkan telah mengenal pasti seramai 40 calon boleh menang yang bakal mewakili parti terbabit dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU)-15.
Pengarah Pilihan Raya BERJASA, Lukman Al-Hakim dalam satu kenyataan media berkata calon terbabit terdiri daripada ketua jabatan kementerian,doktor pakar, pensyarah universiti, tokoh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pegawai tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan multinasional (MNC) serta beberapa teknokrat dan individu ternama yang lain.
“BERJASA sentiasa konsisten dengan naratif mengembalikan maruah dan keunggulan Malaysia di persada dunia…
“Impian Nasional BERJASA 2040 sebagai visi Malaysia yang baharu sentiasa menjadi destinasi utama parti ini.
“Demi merealisasikan hasrat besar tersebut, inilah langkah pertama yang perlu disambut dengan penuh bangga oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Lukman turut berkata PRU-15 merupakan satu langkah penting untuk BERJASA terus mengorak langkah kehadapan di arena politik tanah air.
“Penyertaan BERJASA didalam Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai strategi taktikal PRU-15 disambut positif oleh pelbagai pihak berpengaruh…
“BERJASA konsisten dalam menonjolkan imej calon professional selari dengan imej parti yang beragenda dan berwawasan,” katanya.





