UMNO Sabah Sepatutnya Menghormati Perjanjian Antara GRS – Hamzah

UMNO Sabah Sepatutnya Menghormati Perjanjian Antara GRS – Hamzah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah sepatutnya menghormati perjanjian antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pembentukan kerajaan negeri Sabah.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dilantik ke jawatan itu dengan sokongan daripada BERSATau Sabah dengan pemahaman tertentu bahawa beberapa portfolio akan diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dari UMNO khususnya.

“Mereka tidak sepatutnya melakukan ini (rampasan kuasa). Sama ada saya menyokong Hajiji atau tidak, itu bukan persoalannya.

“Bagaimana UMNO boleh menimbulkan masalah kepada Sabah sedangkan isu itu adalah dalaman antara Hajiji dan BERSATU? Belajar membezakan ‘pergaduhan’ antara ‘adik beradik” dan ‘jiran’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bertempat di Hotel Le Meridien, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mendedahkan telah bertemu dengan beberapa orang bekas ADUN BERSATU Sabah yang mana beliau mendakwa bahawa hati mereka masih bersama parti terbabit tetapi memilih untuk mengikut Hajiji bagi membantu beliau mengekalkan jawatannya.

“Prinsip penting untuk rakyat Sabah. Apa yang UMNO Sabah cuba lakukan adalah meruntuhkan negeri ini.

“Apabila Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan untuk menarik balik sokongan, rakyat harus melihat bahawa parti itu adalah jenis parti yang tidak menunaikan janji mereka, oleh itu adalah mustahil untuk mempercayai sebarang yang mereka katakan.

“Dan tidak seperti BERSATU, kami lakukan apa yang kami katakan. Semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, beliau tidak bercakap mengenai Perjanjian Malaysia sebaliknya menubuhkan kementerian khas untuk menyelia pelaksanaannya yang merupakan kali pertama dalam sejarah. Kami melakukannya untuk rakyat,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, Hamzah menegaskan bahawa GRS adalah pihak yang memecat BERSATU.

Katanya, walaupun pihaknya tidak mempunyai ADUN tetapi memiliki sokongan akar umbi yang utuh di seluruh Sabah.

“BERSATU atau Perikatan Nasional (PN) belum ‘terkubur’ di Sabah seperti yang diperkatakan. SAPP masih bersama PN dan kita ada seorang ADUN PAS.

“Persoalannya adakah mereka (GRS) sanggup membuat kemunculan semula (comeback)? Kamu mahu sokong BERSATU atau tidak,” soalnya.

Sementara itu, Hamzah berkata mereka masih menunggu maklum balas daripada pejabat Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengenai kesahihan pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Disamping itu, beliau juga memaklumkan pihaknya sedang menunggu satu lagi surat balas daripada Speaker Dewan Rakyat yang melibatkan empat bekas Ahli Parlimen Bersatu yang keluar selepas bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), baru-baru ini atas tiket parti terbabit.

Jawapan lisan dijangka diterima dalam masa 21 hari sejak tarikh pertanyaan pada 27 Disember 2022.