KOTA KINABALU, SABAH – Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) terpaksa menaikkan harga jualan simen keluaran syarikat tersebut dinaikkan di antara 5 hingga 15 peratus daripada harga sedia ada.
Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof berkata cadangan kenaikan harga itu setelah membuat pertimbangan sewajarnya memandangkan kos bahan mentah dan perkapalan yang tinggi.
“Namun harga tersebut masih lagi berpatutan sepertimana harga simen di negeri-negeri lain. Pendekatan ini diambil demi memastikan CIS terus dapat membekalkan simen berkualiti dan memenuhi keperluan di negeri Sabah.
“Kenaikan tinggi kos pengilangan simen telahpun berlaku sejak kebelakangan ini terutamanya pada tahun 2022.
“Hal ini disebabkan faktor makro ekonomi semasa dan peningkatan ketara matawang Dollar Amerika.
“Seperti yang telah dilaporkan dalam media tempatan baru-baru ini, harga simen di Sarawak dan Semenanjung Malaysia telah meningkat dengan mendadak sekali. Di Semenanjung Malaysia umpamanya, harga simen telah naik sehingga 30 peratus pada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata kilang simen CIS bukanlah sebuah kilang simen bersepadu sepertimana kilang-kilang simen yang lain di Malaysia.
Sumardi menjelaskan bahawa CIS perlu mengimport bahan mentah dari luar negeri Sabah.
“Umum mengetahui juga bahawa harga bahan-bahan binaan lain terus meningkat sebanyak 10 hingga 40 peratus pada 2022.
“Walau bagaimanapun, CIS akan terus komited untuk membekalkan simen yang mencukupi dan berkualiti.
“Bagi maksud tersebut, CIS telah mempelbagaikan produk keluaran simennya dengan mengeluarkan Portland Composite Simen gred 32.5N dan simen berkualiti tinggi gred 52.N bagi memenuhi keperluan pengguna dan sektor pembinaan di negeri ini demi untuk mencapai Halatuju Sabah Maju Jaya,” tambahnya.





