KUALA LUMPUR – Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merangkap Ahli Pemuda UMNO Bahagian Langkawi, Mohd Nazifuddin Najib menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti akan datang.
Menurutnya, beliau menyedari cabaran utama adalah menarik minat dan sokongan orang muda untuk kembali kepada UMNO.
“Oleh itu saya bersedia mendepani perkara utama ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook, semalam.
Disamping itu, beliau turut berkata keutuhan berpasukan, persepaduan dan kesepakatan dalam setiap gerak kerja amatlah diperlukan.
“Sebagai ahli parti, sudah pastinya ini elemen utama yang menjadi inti pati yang sekian lama menjadi didikan pada diri saya. Boleh saya sumbangkan kembali kepada parti yang telah banyak berjasa ini.
“Bukan sahaja untuk orang Melayu malahan kepada keseluruhan rakyat Malaysia juga. Maka dengan penuh rendah hati, saya mohon sokongan dari seluruh sahabat Pemuda UMNO seluruh Malaysia,” katanya.





