Ahli Parlimen EU Sokong Pengharaman Pembiayaan Asing Untuk Iklan Politik

Ahli Parlimen EU Sokong Pengharaman Pembiayaan Asing Untuk Iklan Politik

0
SHARE

BRUSSELS – Parlimen Eropah mengundi semalam dalam usaha menyokong pengharaman pembiayaan asing untuk iklan politik bagi mengurangkan risiko campur tangan luar dalam pilihan raya Kesatuan Eropah (EU) tahun depan.

Kempen disinformasi Russia berkaitan perang di Ukraine dan skandal membabitkan dakwaan cubaan Qatar dan Maghribi untuk membeli pengaruh di parlimen meningkatkan kebimbangan pembabitan luar.

“Ahli Parlimen Eropah (MEPs) mencadangkan entiti bukan berasaskan EU dilarang daripada membiayai iklan politik di EU,” menurut kenyataan parlimen yang dipetik AFP.

Ia adalah antara pindaan kepada peraturan pengiklanan politik yang dicadangkan oleh cawangan eksekutif EU pada 2021 selepas skandal Cambridge Analytica Facebook.

Cadangan parlimen kini perlu dirundingkan antara penggubal undang-undang, negara anggota EU dan eksekutif sebelum undang-undang muktamad diluluskan.

MEPs juga mendesak untuk mengehadkan penggunaan data peribadi bagi menyasarkan pengiklanan politik dalam talian.

“Hanya data peribadi yang diberikan secara jelas untuk pengiklanan politik dalam talian boleh digunakan oleh penyedia iklan,” kata kenyataan itu.

Di samping itu cadangan berkenaan bertujuan memudahkan untuk mengakses maklumat mengenai siapa yang membiayai iklan, berapa kosnya dan dari mana wang itu datang.

EU bersedia untuk mengadakan pilihan raya seluruh blok untuk Parlimen Eropah pada 2024.