Kes Bunuh Pemandu E-Hailing Tawau: Tujuh Termasuk Enam Anggota, Pegawai Polis Dituduh...

Kes Bunuh Pemandu E-Hailing Tawau: Tujuh Termasuk Enam Anggota, Pegawai Polis Dituduh Di Mahkamah Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Seramai tujuh orang sauspek terlibat dalam pembunuhan seorang pemandu e-hailing di Tawau pada 13 Januari lalu akan dituduh di mahkamah hari ini.

Mereka terdiri daripada enam orang pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang awam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata siasatan yang dijalankan oleh Bukit Aman telah lengkap dan dimajukan kepada pejabat Peguam Negara pada Rabu semalam.

“Kesemua tangkapan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau pada hari ini (8 Februari).

“Pihak polis juga pada 30 Januari telah menuduh seorang wanita yang merupakan isteri mangsa di atas kesalahan yang sama.

“Kesemua suspek akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 109 kanun yang sama kerana bersubahat.

“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Terdahulu, lapan pegawai dan anggota PDRM serta tiga orang awam telah ditahan bagi membantu siasatan kes.

Antara mereka ialah seorang berpangkat Senior Assistant Commissioner yang membawa gelaran Datuk.

Pembunuhan Nurman Bakaratu, 61, di mana mayatnya ditemui di sebuah ladang kelapa sawit dengan kesan tikaman bersebelahan sebuah kereta Perodua MyVi dipercayai berpunca dari cinta tiga segi.