KENINGAU, SABAH – Polis daerah ini berjaya menangkap empat orang lelaki warganegara Indonesia pada Sabtu berhubung kes bunuh pada Selasa lalu.
Mangsa seorang lelaki berusia 47 tahun yang juga berasal dari Indonesia, ditemui di kawasan kebun Kampung Batu 27, Jalan Tenom-Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau Superitendan Yampil Anak Garai berkata penemuan kira-kira empat petang itu dibuat seorang lelaki tempatan yang bertugas untuk meronda kawasan berkenaan.
“Pengadu telah melihat mangsa terbaring di dalam rumah kebun dalam keadaan tidak sedarkan diri tetapi masih bernafas.
“Mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut tetapi meninggal dunia akibat pendarahan dalaman otak pada hari berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Yampil berkata pihak Hospital mendapati kesan benjolan pada kepala kanan mangsa dan manakala laporan polis berhubung kes diterima pada 9.50 malam Sabtu.
“Dua perempuan dan seorang lelaki telah ditahan bagi membantu mengesan empat saspek utama yang terlibat.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau berjaya membuat tangkapan secara berasingan terhadap kesemua suspek berumur lingkungan 17 hingga 37 tahun.
“Mereka ditangkap di kawasan tepi jalan Kampung Bunga Raya dan hadapan rumah tidak bernombor di Ladang Sawit Sapong-Tenom diantara jam lapan pagi dan tiga petang.
“Kesemua saspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada orang awam dan masyarakat yang telah membantu sehingga tertangkapnya kesemua saspek.
“Orang awam juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut di media sosial yang akan menjejaskan siasatan,” tambahnya.





