Taman Perindustrian Kedua Berupaya Lonjakkan Ekonomi

Taman Perindustrian Kedua Berupaya Lonjakkan Ekonomi

0
SHARE
Jasmin
Mohd Jasmin ketika bercakap kepada media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Pewujudan taman perindustrian kedua dijangka berupaya melonjakkan ekonomi di negeri ini.

Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah Datuk Mohd Jasmin Julpin berkata pihaknya bersama kerajaan negeri sedang merancang untuk membina satu lagi taman perindustrian di negeri ini bagi merancakkan lagi sektor perindustrian.

“Perancangan kita untuk pelabuhan Sabah tahun depan bersama-sama dengan kerajaan negeri untuk pembangunan industrial park yang kedua kemungkinan di kawasan Kimanis, Papar dan juga kawasan-kawasan lain.

“Kita yakin dengan wujudnya industrial park ini nanti pasti akan melonjakkan lagi pendapatan dan ekonomi Negeri Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, ujar Mohd Jasmin, Sabah kini mempunyai lapan pelabuhan termasuk tiga pelabuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Pelabuhan Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, Pelabuhan Sipitang Oil dan Gas Industrial Park (SOGIP) dan Pelabuhan Sawit Kinabalu.

“Buat masa ini, kita ada lapan pelabuhan di Sabah dan ada pelabuhan GLC Negeri Sabah iaitu Pelabuhan POIC Lahad Datu, Pelabuhan SOGIP atau SOGTC dan juga Pelabuhan Sawit Kinabalu.

“Jadi, dengan adanya tiga pelabuhan GLC ini, ia akan juga dapat menyumbang kepada pendapatan Sabah dan juga pendapatan Kumpulan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah.

“Yang lapan itu memang kita telah swastakan, Sabah Port Sdn Bhd atau Suria Capital sebagai pairing company memang dilaksanakan sejak 2004 hingga sekarang,” jelas beliau kepada media di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.

Mohd Jasmin menyerahkan cukai perniagaan Kumpulan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah bagi tahun berakhir 2021 berjumlah RM 3,446,180.76 kepada Yang Dipertua MUIS Datuk Yahya Hussin bersama-sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang juga Exco Hal Ehwal Agama yang disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Mengenai perkembangan terkini, beliau memaklumkan, pihaknya telah menerima dua operasi perkapalan iaitu feri dari Bongau, Filipina ke Lahad Datu dan feri penumpang dari Tanjung Silopo, Indonesia ke Lahad Datu menjelang Disember depan. — JABATAN PENERANGAN SABAH