Pencak Silat, Petanque Sandaran Pasukan Membakut

Pencak Silat, Petanque Sandaran Pasukan Membakut

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Acara pencak silat dan petanque menjadi sandaran utama pasukan Membakut memperolehi pada Sukan Sabah edisi ke-10.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Ariffin Arif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut berkata dengan penyertaan julung kali itu diharap dapat menaikkan lagi nama serta imej Membakut sebagai sebuah daerah.

“Pada penyertaan julung kali ini, Pasukan Membakut menghantar seramai 198 orang atlet dan pegawai bagi menyertai 10 acara sukan yang dipertandingkan.

“Meskipun merupakan pasukan baharu, pasukan Membakut menyasarkan acara silat dan petanque akan memberikan kelebihan kepada pasukan memandangkan Pasukan Membakut mempunyai beberapa atlet yang sering mendapat tempat di sukan dalam negeri mahupun di luar negeri,” jelasnya.

Beliau turut mengumumkan atlet yang berjaya memenangi pingat emas pada Sukan Sabah kali ini, akan menerima ganjaran RM1,000, manakala RM500 dan RM300 masing-masing bagi pemenang perak dan gangsa.

“Saya juga telah menghantar permohonan kepada pihak yang berkenaan agar mempertimbangkan pembinaan kompleks sukan bagi kemudahan atlet mengadakan latihan bagi kawasan Membakut dan Bongawan” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki sebagai Ketua Kontinjen Pasukan Membakut dan Ketua-ketua Kontinjen Pasukan Membakut di Wisma Bandaraya. — JABATAN PENERANGAN SABAH