KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Tenom merangkul dua pingat emas kategori lelaki dan wanita dalam acara akhir bola sepak Sukan Sabah Edisi Ke-10 (SAGA X).
Acara penutup tirai SAGA X itu menyaksikan pasukan lelaki Tenom menewaskan Telupid dengan jaringan 3-1 di Stadium Likas pada petang Jumaat.
Telupid yang terlebih dahulu membuat hantaran dan cubaan agresif ke pintu gol lawan membuka tirai jaringan pada minit ke-10 melalui pemain berjersi nombor 12, Bronson Andrew.
Namun kegembiraan pasukan Telupid tidak berpanjangan apabila pemain Tenom berjersi nombor 4, Chikonelson Kulisi menyamakan kedudukan pada minit ke-17.
Chikonelson juga terus mengukuhkan genggaman pingat emas pasukan Tenom dengan jaringan gol pada minit ke-19 manakala satu gol lagi pada separuh masa kedua di minit ke-59 sekaligus menjadi penjaring hatrik pada perlawanan tersebut.
Telupid terpaksa akur dengan memperolehi pingat perak manakala Tuaran menerima pingat gangsa.
Sementara itu, Ketua Jurulatih pasukan bola sepak Tenom Zainudin Jalani berkata kemenangan pasukan itu adalah hasil kombinasi baik antara pemain, pasukan kejurulatihan, para pemimpin setempat serta sokongan para penonton.
Selain itu, kunci kemenangan para atlet bola sepaknya juga adalah bermain dengan semangat kesukanan yang tinggi selain mampu mengawal emosi apabila ditekan oleh pihak lawan.
Harapan beliau dengan kemenangan pada SAGA X kali ini mampu menyuntik semangat anak-anak buahnya untuk terus berusaha lebih gigih agar terpilih untuk mewakili negeri di pertandingan lain terutamanya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tahun hadapan.
Kira-kira 3,000 orang menyaksikan perlawanan sengit antara Tenom dan Telupid yang turut dihadiri Pengerusi SUDC, Datuk Jamawi Jaafar dan ADUN Melalap Datuk Peter Anthony selain ADUN Telupid, Jonnybone Kurum dan Pegawai Daerah Tenom, Mas Syazwan Masood.
Dalam perkembangan lain, pasukan bola sepak wanita Tenom menang bergaya pada penentuan pingat emas bola sepak wanita selepas menewaskan Ranau 5-1 di Padang SAFA, Kompleks Sukan Kota Kinabalu.
Jaringan gol pasukan Tenom adalah melalui atlet bola sepaknya Eusvewana (minit ke-40), Rosaisah (43), Flerence (59) dan dua gol melalui Kuza Eizwanih pada minit ke-33 dan 41.
Gol tunggal pasukan Ranau pula disumbangkan oleh pemain berjersi nombor 11, Grace Handirian menjadikan pingat perak milik pasukan Ranau manakala gangsa dimenangi Kota Kinabalu.
Majlis penyampaian hadiah dan pingat bagi kedua-dua kategori disampaikan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan. — JABATAN PENERANGAN SABAH





