
BELURAN, SABAH – Sekeluarga 13 yang terperangkap dalam banjir kilat di Jalan Kelab Belia, sini, berjaya dipindahkan ke tempat selamat oleh pasukan bomba daerah pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi itu, mangsa terdiri dari seorang warga emas, tiga lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga orang kanak-kanak perempuan.
Seramai tujuh pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Beluran bergegas ke lokasi berjarak kira-kira dua kilometer dari Balai.
“Tindakan pasukan bomba memindahkan 13 orang mangsa yang terlibat ke rumah keluarga mangsa.
“Operasi tamat pada jam 7.59 pagi,” kata seorang jurucakap bagi Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorlogi Malaysia dalam satu kenyataan pada pukul 12.25 tengah hari tadi berkata ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di beberapa daerah dalam negeri Sabah sehingga pukul tiga petang.
Kawasan berkenaan termasuk Pantai Barat (Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu).





