KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung kenyataan berbaur fitnah isu ‘Kutty’ yang bermula hari ini, ditangguhkan ke 19 Julai depan berikutan keadaan Tun M yang kurang sihat dan sedang menerima rawatan di Insitiut Jantung negara (IJN).
Perkara itu disahkan peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Tun M, 99 tahun, selaku plaintif selepas prosiding kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Katanya, sebelum ini, IJN telah menghantar surat kepada mahkamah bahawa anak guamnya kurang sihat untuk hadir ke mahkamah.
“Anak guam kami diberi cuti sakit oleh IJN dari 26 Januari hingga 18 Februari ini. Justeru kami mohon kepada mahkamah supaya perbicaraan hari ini ditangguhkan.
“Hakim berharap tarikh perbicaraan awal kerana usia anak guam kami yang sudah lanjut. Perbicaraan pada 13 hingga 16 Februari ini ditangguhkan.
“Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan semula bermula 19 Julai, 26 dan 27 Ogos serta 29 dan 30 Oktober,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Tambahnya, pihak plaintif mengemukakan dua saksi, iaitu Tun M dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu kelak.
Sementara itu, peguam, Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Zahid, 71 tahun turut mengesahkan perkara itu dan memaklumkan anak guamnya dan seorang lagi saksi sapina akan memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Tun M mendakwa, Zahid telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 dan kenyataan itu kemudian diterbitkan semula oleh beberapa portal berita dalam talian dan boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sekatan.
Dakwa Tun M, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.






