Masyarakat Dipelawa Sertai Kursus Percuma NTW

Masyarakat Dipelawa Sertai Kursus Percuma NTW

0
SHARE
Ntw
Rony (empat kanan) bersama Jainisah (tiga kanan) memegang replika NTW dalam kerjasama mempromosikan NTW ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Orang ramai khususnya di luar bandar dipelawa untuk menyertai pelbagai kursus percuma yang ditawarkan menerusi portal National Training Week (NTW).

Ketua Pegawai Strategi Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Dr. Rony A. Jubilee berkata, NTW dianjurkan oleh HRD Corp di bawah naungan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) antaranya bertujuan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Bagi pembukaan sesi 2024, NTW bermula pada 24 sehingga 30 Jun dan diharapkan lebih ramai masyarakat khususnya dari luar bandar turut mengikuti kursus latihan yang dianjurkan.

“Tujuan utamanya adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat tidak mengira umur, status, bekerja, sedang belajar atau yang telah bersara mendapatkan latihan dalam pelbagai bidang.

“Latihan-latihan tersebut sama ada berbentuk teknikal mahupun dalam bentuk kemahiran hidup yang membolehkan mereka menambah pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan secara percuma,” katanya.

Terdapat lebih daripada 15,000 kursus percuma ditawarkan dalam portal NTW yang memberi tumpuan kepada lima bidang utama iaitu kemahiran hidup (pembangunan peribadi dan pencapaian diri), kreativiti dan inovasi (muzik, seni budaya dan pendidikan kreatif) serta kewangan (bank, insurans, pelaburan dan teknologi kewangan).

Selain itu, NTW turut memberi tumpuan kepada kemahiran masa depan (STEM, TVET, digitalisasi, kecerdasan buatan, dan kejuruteraan mesin) serta pembangunan mampan melibatkan alam sekitar, kesamarataan, pembangunan dan kemakmuran.

Rony ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor di Kompleks Komunikasi pada Rabu. — JABATAN PENERANGAN SABAH