BRAZIL: Seorang pemain akademi kelab terkenal Brazil Atlético Mineiro, Heitor Moreira, 9 tahun, maut selepas ditembak ketika meraikan ulang tahun kelahirannya yang kesembilan di kediaman keluarganya di Vespasiano pada 25 Mei lalu.
Sebuah video rakaman yang sempat tular di media sosial menunjukkan rakan dan keluarganya sempat menyanyikan lagu untuk Heitor beberapa saat sebelum beberapa lelaki tidak dikenali datang lalu melepaskan tembakan ke arah rumahnya.
Dalam kejadian itu, Heitor ditembak mati bersama ayahnya Felipe Moreira, 26, dan sepupunya, Layza de Oliveira, 11 tahun.
Ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dilaporkan, Heitor terkena empat das tembakan, sepupunya dua das tembakan manakala ayahnya menerima 12 das tembakan.
Manakala, ibunya berusia 41 tahun, seorang remaja berusia 13 tahun dan seorang lagi gadis, 19, cedera akibat tembakan dan dikejarkan ke Hospital Risole Neves.
Difahamkan, keluarga mangsa sebelum itu sering menjadi ugutan kartel jenayah di Brazil.
Lebih menyayat hati lagi, Heitor yang memasang impian untuk menjadi pemain bola sepak skuad antarabangsa Brazil tidak kesempaian selepas menjadi korban tembakan dalam majlis itu.






