Kenyataan Junz Wong Mengenai Isu Penguatkuasaan LPG Bermotif Politik dan Kelirukan Rakyat...

Kenyataan Junz Wong Mengenai Isu Penguatkuasaan LPG Bermotif Politik dan Kelirukan Rakyat – Armizan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali hari ini menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Junz Wong, berhubung isu penguatkuasaan berkaitan gas petroleum cecair (LPG) adalah bermotif politik dan bertujuan mengelirukan rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Junz Wong terhadap Kerajaan Negeri dan GRS adalah tidak berasas kerana perkara yang dibangkitkan sebenarnya berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Hakikatnya, isu ini tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telahpun berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021 semasa pentadbiran kerajaan terdahulu, bukan dasar baharu di bawah Kerajaan Perpaduan Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan hari Gawai di Dewan Pisompuruan, Kg Kobuni, Inanam di sini, hari ini.

Armizan turut menjelaskan bahawa dokumen yang dirujuk oleh Junz Wong sebagai “notis” bukanlah satu kompaun kesalahan seperti yang didakwa, sebaliknya adalah Kenyataan Pemeriksaan Premis, iaitu dokumen standard yang dikeluarkan oleh pegawai penguat kuasa KPDN semasa menjalankan pemeriksaan rutin di premis perniagaan.

Beliau turut menerangkan bahawa keperluan memohon Permit Barang Kawalan hanya terpakai kepada premis yang menyimpan lebih daripada 42 kilogram LPG pada satu-satu masa, bersamaan lebih tiga tong gas bersaiz 14kg.

“Saya tidak fikir banyak kedai makan, apatah lagi gerai makan atau gerai burger seperti yang disebut oleh YB Tanjung Aru, menyimpan tong LPG melebihi 42 kilogram melainkan mereka menjalankan perniagaan berskala besar,” tambah beliau.

Mengulas lanjut mengenai isu subsidi, Armizan menegaskan bahawa subsidi LPG adalah satu bentuk subsidi kepenggunaan yang ditanggung kerajaan menggunakan dana awam termasuk cukai rakyat, dan bukan bertujuan untuk menanggung kos operasi perniagaan besar.

“Subsidi LPG telah mencecah RM3.4 bilion pada tahun 2024. Kita tidak boleh biarkan subsidi ini disalahgunakan oleh mana-mana pihak atas nama kononnya mahu mengurangkan kos sara hidup, sedangkan mereka tidak menjual barangan atau perkhidmatan pada harga berpatutan kepada rakyat,” jelasnya.

Armizan turut mempelawa Junz Wong untuk mengemukakan sebarang kes spesifik sekiranya ada premis yang benar-benar memerlukan simpanan LPG melebihi had yang ditetapkan, supaya KPDN dapat menyemak secara telus dan adil.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka kepada dialog dan kerjasama demi memastikan kebajikan rakyat terbela, tetapi menolak sebarang percubaan untuk memanipulasi fakta demi kepentingan politik sempit.