KOTA KINABALU: Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman disifatkan tidak layak bercakap soal integriti apabila partinya sendiri masih mengekalkan Datuk Seri Bung Moktar sebagai Ketua UMNO Sabah meskipun berdepan tiga pertuduhan rasuah bernilai RM2.8 juta.
Kritikan Rosman terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung dakwaan krisis kepercayaan susulan video tular pemberian wang kepada beberapa ADUN dilihat sebagai senjata makan tuan.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) Datuk Zulkarnain Mahdar berkata ianya ibarat meludah ke langit, terkena muka sendiri.
“Rakyat kini hilang kepercayaan kepada UMNO-BN berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Rosman juga cuba menimbulkan persepsi buruk terhadap pentadbiran Hajiji dalam isu lesen perlombongan, walaupun siasatan masih berjalan dan belum ada pendakwaan oleh SPRM.
“Sebaliknya, tindakan tegas Hajiji membatalkan 13 lesen mineral yang dipercayai diperoleh melalui dokumen palsu termasuk cubaan mohon sejuta ekar tanah disifatkan sebagai bukti ketelusan pentadbiran negeri,” tegasnya.
Kerajaan Sabah turut dilapor memberi kerjasama penuh kepada SPRM dan pihak berkuasa bagi menyiasat tuduhan yang dibuat oleh pihak yang mengaku sebagai pembocor maklumat.






