KUALA LUMPUR: Anak jati Sabah, Jervie Lo, mencipta kebanggaan apabila berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan lelaki berprestij, ‘Mr Nusantara 2025’, yang berlangsung penuh meriah di Galaxy Banquet Hall, HGH Convention Centre, Kuala Lumpur pada Mei lalu.
Jervie, 43 tahun, yang juga merupakan seorang tukang emas dari Kota Kinabalu, dinobatkan sebagai Mr Malaysia Nusantara 2025, sekali gus mengungguli tempat kedua dalam pertandingan tersebut yang turut disertai wakil-wakil dari seluruh rantau Nusantara.
Lebih membanggakan, Jervie turut diumumkan sebagai Mister Supranational Malaysia 2025 dan bakal mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam Mister Supranational 2025 yang akan berlangsung pada 28 Jun ini di Poland.
Gelaran juara utama Mr Nusantara 2025 dimenangi oleh wakil Singapura, Nicholas Erekose Sim, seorang CEO berpengalaman luas dalam sektor kewangan, manakala tempat ketiga disandang oleh Candra Hakiki, seorang model berusia 31 tahun dari Jakarta, Indonesia.
Pertandingan ini turut menampilkan pelbagai segmen seperti pakaian resort, pakaian formal, pertunjukan bakat dan sesi soal jawab.
Malam kemuncak diserikan dengan persembahan bertenaga kumpulan DOLLA serta kehadiran ratu-ratu cantik terkenal seperti Miss Supranational Malaysia 2025, Eshwin Kaur dan Miss Malaysia (Miss Emerald) 2025, Jessrina Kaur.
Acara gilang-gemilang ini dianjurkan oleh Beam Artistes dengan sokongan penaja utama A.M Aesthetics dan Alluoara Skincare, serta lebih 20 penaja dan rakan kerjasama dari pelbagai industri.
Mr Nusantara kini diiktiraf sebagai pertandingan lelaki terbesar dan paling bergaya di Malaysia menghimpunkan peserta yang menonjolkan nilai kepimpinan, warisan budaya dan maskuliniti moden di rantau Nusantara.






