KOTA KINABALU: Chef Lo Kit dari Tawau meraih pengiktirafan antarabangsa selepas memenangi tempat kedua dalam pertandingan Genting Culinary Classic 2025 menerusi sajian Mee Tauhu.
Hidangan mi tradisional Sabah itu diolah dengan sentuhan moden dan penuh rasa.
Pertandingan yang berlangsung pada 10 hingga 11 Jun di Genting International Showroom itu mengetengahkan bakat kulinari Malaysia sebagai sebahagian daripada kempen Visit Malaysia 2026.
Hidangan Lo Kit yang menampilkan keseimbangan halus antara tauhu, mi dan kuah berperisa telah menyerlahkan warisan kulinari Sabah di pentas dunia.
Tempat pertama dimenangi oleh Budiman Bistari Mohamed dari Kedah yang membawa pulang RM25,000.
Lo Kit menerima RM15,000 sebagai naib juara manakala Lim Boon Ghee pula menduduki tempat ketiga dan menerima RM10,000.
Pertandingan tersebut dianjurkan bersama oleh Resorts World Genting dan Hospitality Asia Platinum Awards (HAPA) dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan makanan bertaraf dunia.






