Dua Ekar Tanah Disediakan Kepada Enam Keluarga Dari Kampung Nelayan 1, Likas

Dua Ekar Tanah Disediakan Kepada Enam Keluarga Dari Kampung Nelayan 1, Likas

0
SHARE

KOTA KINABALU: Enam keluarga dari Kampung Nelayan 1, Likas yang terjejas akibat perobohan kediaman mereka akan ditempatkan semula di kawasan seluas dua ekar yang telah diambil alih kerajaan untuk tujuan penempatan baharu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan bahawa tanah seluas dua ekar di bawah hak milik MLGH (Sabah) Sdn. Bhd. telah diambil secara rasmi di bawah Seksyen 3, Ordinan Pengambilan Tanah Bab 69 dan pengambilan itu telah diwartakan menerusi Gazette Number G.N.210/2025 bertarikh 5 dan 12 Jun 2025.

“Bukan Rimdaya Sdn. Bhd., sebaliknya MLGH (Sabah) Sdn. Bhd. adalah pemilik asal tanah CL.015669799 tersebut.

“Proses pengambilalihan melibatkan kebenaran memasuki tapak oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan surat tawaran pampasan kepada pemilik tanah telah dikeluarkan pada 30 Jun 2025.

“Ini bermakna, enam keluarga yang terlibat akan dapat membina semula kediaman mereka di kawasan tersebut dan DBKK kini bertanggungjawab untuk menyediakan pelan tata atur bagi memastikan proses penempatan semula berjalan lancar,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Hajiji memaklumkan perkara tersebut bagi menjawab Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Datuk Azhar Matussin yang meminta penjelasan mengenai janji secara lisan oleh Ketua Menteri ketika sidang DUN pada 20 November 2024.

Langkah ini dilihat sebagai satu penyelesaian berstruktur kepada penduduk yang terjejas dan mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya dalam isu perumahan.