KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin menegaskan bahawa industri pelancongan Sabah perlu sentiasa dipertingkatkan standardnya agar negeri ini terus diiktiraf sebagai destinasi bertaraf dunia yang bukan sahaja indah dan kaya budaya, tetapi juga selamat serta boleh dipercayai.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri pembukaan destinasi pelancongan baharu “Tree Have Gold” di Kota Kinabalu hari ini.
Destinasi baru itu, menampilkan replika Orang Utan terbesar di dunia dan mengetengahkan pelbagai tarikan tempatan seperti produk durian, sarang burung, kraftangan, kafe serta Pasar Artisan Jesselton yang akan beroperasi secara tetap.
“Usaha ini membuktikan bagaimana penggiat pelancongan Sabah semakin kreatif dan berani memperluaskan tawaran produk. Namun, industri secara keseluruhannya juga mesti meningkatkan tahap kualiti dan keselamatan bagi menjaga reputasi Sabah di mata dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Chan turut menyatakan sokongan penuh terhadap langkah tegas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang baru-baru ini mengetuai operasi mengejut di Tawau dan Semporna.
Pemeriksaan itu mendedahkan pelbagai pelanggaran serius termasuk bot terlebih muatan, pengusaha tanpa lesen, ketiadaan peralatan keselamatan, serta resort tidak sah.
“Langkah pembetulan yang diumumkan oleh Menteri seperti penutupan resort haram, insurans mandatori, jaket keselamatan wajib, penempatan pos perubatan di pulau-pulau serta penguatkuasaan tempatan yang lebih ketat adalah tindakan tepat demi keselamatan pelancong,” katanya.
Menurut Chan, tanpa pemantauan rapi dan pematuhan undang-undang, sebarang pelanggaran berulang akan merosakkan keyakinan pelancong serta mencalar imej antarabangsa Malaysia.
“Untuk memastikan pelancongan Sabah berkembang secara mampan, aspek keselamatan dan pematuhan tidak boleh dikompromi. Sabah mesti terus melangkah ke tahap lebih tinggi agar dikenali bukan sahaja kerana keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya, tetapi juga sebagai destinasi selamat dan bertaraf dunia,” katanya.






