Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Prosiding kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu pagi tadi disahkan tertakluk kepada perintah larangan (gag order) di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.
Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail, menegaskan bahawa larangan tersebut bukanlah kerana campur tangan mana-mana pihak atasan atau faktor status VVIP, sebaliknya kewajipan undang-undang demi melindungi identiti kanak-kanak yang terlibat.
“Undang-undang jelas melarang sebarang pendedahan identiti kanak-kanak termasuk nama, alamat dan maklumat ibu bapa. Ini bukan arahan mana-mana pihak, tetapi peruntukan undang-undang negara,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding.
Hamid turut menjelaskan beliau tidak dapat mengulas perjalanan prosiding kerana dikhuatiri dianggap menghina mahkamah (contempt of court).
“Semua pihak hanya boleh merujuk kepada kenyataan rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC) yang sebelum ini telah menjelaskan pertuduhan serta seksyen berkaitan. Tidak ada ruang untuk berspekulasi atau membuat ulasan lanjut,” ujarnya.
Hamid turut memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan untuk menjadi pihak berkepentingan (interested party) dalam prosiding inkues yang dijadual bermula 3 September depan. Katanya, tarikh pendengaran permohonan tersebut dijangka ditetapkan dalam minggu ini.
Beliau juga memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus berhubung rapat dengan keluarga arwah Zara bagi memastikan mereka sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan inkues.
Dalam pada itu, Hamid menegaskan masyarakat perlu memahami bahawa gag order ini adalah mekanisme undang-undang untuk melindungi kanak-kanak, dan tidak wajar dikaitkan dengan isu VVIP atau permainan politik.
“Saya harap masyarakat jelas. Ini undang-undang untuk melindungi kanak-kanak, bukan kerana faktor luar. Jangan salah faham,” katanya.






