Saifuddin Akan Rayu Keputusan Fitnah RM670,000 Sanusi

Saifuddin Akan Rayu Keputusan Fitnah RM670,000 Sanusi

0
SHARE

ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi di sini memutuskan beliau bersalah memfitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan beliau membayar ganti rugi am RM600,000 serta kos RM70,000 kepada Muhammad Sanusi berhubung dakwaan berkaitan unsur nadir bumi (REE) dan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Saya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar dan menghargai masa serta pertimbangan yang telah diberikan sepanjang prosiding. 

“Namun, setelah meneliti bersama pasukan guaman, saya berpendirian terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Saifuddin menegaskan beliau akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan sementara menunggu rayuan selesai.

Katanya lagi, beliau kekal berpegang kepada prinsip keterbukaan, integriti dan tanggungjawab dalam mengemukakan pandangan mengenai isu kepentingan awam.

“Segala kenyataan saya sebelum ini adalah berasaskan tanggungjawab, bukan tuduhan bahawa sesiapa mencuri atau menyeleweng.

“Saya percaya sistem kehakiman negara akan memberi ruang adil untuk saya mengemukakan hujah serta mempertahankan kebenaran,” tegasnya.