Pelajar Universiti Terpaksa ‘Pinjam’ Duit Tabung Masjid Akibat Tiga Hari Tidak Makan

Pelajar Universiti Terpaksa ‘Pinjam’ Duit Tabung Masjid Akibat Tiga Hari Tidak Makan

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Sebuah nota yang ditinggalkan oleh seorang pelajar universiti di sebuah masjid dalam kawasan kampus mengundang rasa sebak orang ramai, selepas beliau mengakui terpaksa ‘meminjam’ wang daripada tabung masjid kerana tidak mampu membeli makanan sejak tiga hari.

Dalam rakaman video yang dikongsi pengguna TikTok @ckgnizam, sekeping nota tulisan tangan dipaparkan kepada sekumpulan pelajar di sebuah dewan kuliah, memperlihatkan luahan pelajar tersebut tentang kesusahan yang dialami.

“Assalamualaikum semua. Saya ada pinjam duit RM7.65 daripada tabung masjid. Maafkan saya. Saya sudah tiga hari tidak makan sebab tiada duit.

“InsyaAllah, saya akan bayar balik secepat mungkin. Saya salah seorang pelajar di kolej ini. Terima kasih. Semoga Allah merahmati kamu semua. Doakan saya kuat,” menurut nota berkenaan.

Kisah itu mengundang simpati netizen yang menyuarakan kebimbangan terhadap pelajar terpaksa berlapar dalam diam akibat kekangan kewangan ketika melanjutkan pelajaran.

Seorang pengguna menulis bahawa beliau tidak mengenali pelajar itu namun mendoakan rezekinya dipermudahkan.

Ada juga yang mengakui menitiskan air mata sebaik membaca nota tersebut, memohon supaya pelajar itu segera dibantu.

Pengguna lain turut menyentuh isu harga makanan di kawasan universiti yang semakin mahal, menyebabkan ramai pelajar memilih untuk berjimat sehingga menjejaskan kesihatan.

Insiden itu difahamkan turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang memohon maklumat lanjut mengenai pelajar terbabit bagi menyalurkan bantuan sewajarnya.