TAWAU: Lapan lot kedai di Kampung Kinabutan Kecil, Batu 4 Tawau, dilaporkan terbakar awal pagi tadi dalam kejadian yang memusnahkan enam daripada lapan lot berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.47 pagi melalui MERS999.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi sejauh 8 kilometer dan tiba pada jam 4.56 pagi.
Komander Operasi, PBK I Sulaiman Md. Salleh berkata, kebakaran melibatkan sederet bangunan kedai jenis tidak kekal berkeluasan 70 x 30 kaki persegi.
“Enam lot kedai musnah kira-kira 80 peratus, manakala dua lagi berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas anggota bomba. Sebuah kenderaan jenis Perodua Axia turut terjejas akibat bahangan api sebanyak 10 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dan tiga pancutan dengan sumber air diambil daripada tangki jentera sejauh 300 kaki. Api berjaya dikawal pada jam 5.25 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.58 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Seramai 12 anggota terlibat dalam operasi itu membabitkan dua jentera FRT, satu EMRS dan satu Water Tanker dengan bantuan dua anggota polis (PDRM).
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian ini.






