KOTA KINABALU: Steve Johnny Mositun, Timbalan Presiden Sayang Sabah Community Club, menyeru pengundi Sabah khususnya anak muda supaya membuat pilihan secara tenang dan berfikir matang menjelang pilihan raya pada 29 November.
Beliau menegaskan bahawa masa depan Sabah bergantung kepada keputusan pengundi, dan pilihan tidak seharusnya dibuat atas dasar emosi, kemarahan atau sentimen media sosial.
“Pengundi perlu meneliti latar belakang setiap calon, prestasi lampau dan nilai yang dibawa, selain menilai secara kritikal manifesto parti serta rekod mereka sebagai kerajaan atau pembangkang,” katanya.
Steve turut mengingatkan supaya menolak politik kebencian dan amalan politik wang yang merosakkan proses demokrasi serta masa depan negeri.
Beliau berkata anak muda mempunyai kuasa membentuk landskap politik baharu melalui undi yang berintegriti dan berasaskan kesedaran.
“Pengundi perlu mempertimbangkan sama ada cadangan calon mampu menangani isu penting seperti peluang pekerjaan, infrastruktur, kos sara hidup dan pembangunan saksama,” tambahnya.
Beliau yakin keputusan yang dibuat secara bijak dan berasaskan perpaduan akan membawa Sabah ke arah kestabilan serta masa depan yang lebih baik.






