Kepentingan Komuniti Cina Dijamin Dalam Pentadbiran Sabah – John Ambrose

Kepentingan Komuniti Cina Dijamin Dalam Pentadbiran Sabah – John Ambrose

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi jaminan bahawa kepentingan komuniti Cina di negeri ini akan terus dipelihara meskipun tiada menteri berbangsa Cina dalam Kabinet Sabah baharu di bawah GRS Plus.

Ahli Majlis Tertinggi GRS, Datuk John Ambrose berkata, komposisi Kabinet ketika ini mencerminkan keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini dan bukan menggambarkan sebarang perubahan terhadap prinsip keterangkuman kerajaan.

Kenyataan itu turut selari dengan pandangan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Masidi Manjun yang sebelum ini mengakui kebimbangan masyarakat terhadap ketiadaan wakil Cina dalam Kabinet.

“Komuniti Cina tidak seharusnya berasa dipinggirkan. Walaupun tanpa menteri Cina, kerajaan GRS akan terus menjaga kepentingan mereka. Setiap dasar, program dan inisiatif pembangunan adalah untuk semua rakyat Sabah tanpa mengira kaum,” katanya.

John menegaskan bahawa tadbir urus inklusif sentiasa menjadi prinsip utama GRS dan setiap menteri bertanggungjawab berkhidmat untuk seluruh rakyat, bukan kepada komuniti tertentu sahaja.

“GRS sentiasa berpegang kepada perpaduan dan keadilan. Perkhidmatan kerajaan tidak dihadkan oleh kaum. Komitmen kami kepada komuniti Cina tetap kukuh. Lagipun, kita semua adalah rakyat Sabah,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf peranan besar komuniti Cina sebagai rakan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri, termasuk melalui penglibatan aktif mereka dalam dewan perniagaan, persatuan perdagangan dan pertubuhan kemasyarakatan.

John yakin mandat baharu yang diterima Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menunjukkan keyakinan masyarakat Cina terhadap kepimpinan beliau sebagai seorang yang sederhana dan inklusif.

“Kami menghargai kepercayaan ini dan akan berusaha mengukuhkannya,” tambahnya.

Sementara itu, Masidi sebelum ini menjelaskan bahawa ketiadaan wakil Cina dalam Kabinet bukan disengajakan, tetapi berpunca daripada keputusan di kawasan majoriti Cina yang lazimnya menjadi kubu parti di luar GRS.

Dalam perkembangan lain, John turut memuji langkah kerajaan menubuhkan Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang disifatkannya sebagai pengiktirafan penting terhadap peranan wanita dalam masyarakat.

“Penubuhan kementerian ini hadir pada masa yang sangat tepat dan memberi nilai tinggi kepada sumbangan wanita dalam semua sektor,” ujarnya.

Beliau juga menekankan pentingnya hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan melalui penyertaan BN dan PH dalam pentadbiran negeri, sambil menyifatkan pembinaan negara sebagai usaha berterusan yang memerlukan kerjasama semua pihak.