KOTA KINABALU: Tahun 2026 membuka lembaran baharu untuk Sabah terus melangkah maju dengan azam yang kukuh serta semangat kebersamaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif bagi memastikan kemakmuran berterusan serta masa depan Sabah yang lebih cerah dan berdaya saing.
“Mengimbas kembali tahun 2025, ia merupakan tahun yang baik, dibina atas asas pembangunan yang kukuh serta kemajuan konsisten menerusi pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.
“Kerajaan negeri akan meneruskan landasan ini melalui SMJ 2.0 dengan memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan, kemakmuran dan pembangunan inklusif supaya kemajuan yang dicapai dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu 2026, di sini, hari ini.
Dalam perutusan sama, Hajiji turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Sabah atas mandat baharu yang diberikan kepada kerajaan negeri untuk terus memimpin negeri ini.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan ini. Ia adalah satu amanah besar yang akan dilaksanakan dengan penuh akauntabiliti dan tanggungjawab,” katanya.
Menurut beliau, dengan mandat baharu itu, kerajaan negeri kekal komited untuk memperkukuh tadbir urus, memastikan kestabilan politik yang berterusan serta memacu pembangunan komprehensif demi kesejahteraan rakyat.
Hajiji berkata, sepanjang lima tahun lalu, usaha berterusan mewujudkan kestabilan dan persekitaran yang kondusif telah membuahkan hasil yang ketara serta memberi manfaat kepada negeri.
Beliau turut berharap agar seluruh rakyat Sabah dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan pada tahun baharu ini.
“Bersama rakan-rakan jemaah menteri Kabinet negeri, saya dengan penuh keikhlasan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu kepada semua,” katanya.






