KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan terjatuh di kediamannya pada awal pagi tadi sebelum dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 9.30 pagi untuk pemeriksaan lanjut.
Menurut laporan Astro Awani, perkara itu disahkan oleh Setiausaha Akhbar Tun Dr Mahathir, Sufi Yusoff, yang memaklumkan bahawa beliau kini berada di IJN dan sedang dipantau oleh pasukan perubatan.
“Ya, beliau dimasukkan ke IJN akibat terjatuh dan kini masih dalam proses pemantauan secara keseluruhan,” katanya seperti dipetik Astro Awani.
Susulan kejadian itu, Tun Dr Mahathir dilaporkan dibawa ke IJN menggunakan ambulans dari kediamannya bagi mendapatkan rawatan dan pemerhatian lanjut.
Sementara itu, seorang pegawai media Pejabat Tun Dr Mahathir memaklumkan bahawa kenyataan lanjut mengenai keadaan kesihatan beliau akan dikeluarkan dalam masa terdekat.






