TAWAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai warga asing selepas mengamuk dan menimbulkan kekecohan di kawasan Kampung Titingan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 10.30 malam sebelum sepasukan anggota dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan, Balai Polis Tawau digerakkan ke lokasi.
“Suspek berjaya ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau untuk menjalani ujian saringan awal air kencing kerana disyaki berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, hasil saringan mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, selain gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis menegaskan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, khususnya melibatkan penyalahgunaan dadah.






