KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menzahirkan penghargaan kepada pengamal media serta mengiktiraf peranan penting kewartawanan dalam membentuk persepsi awam terhadap institusi pendidikan tinggi, khususnya ketika universiti itu berdepan cabaran sepanjang tahun lalu.
Naib Canselor UMS, Datuk Kasim Mansor berkata, media bukan sekadar penyampai maklumat, sebaliknya berperanan sebagai pembentuk keyakinan masyarakat terhadap kredibiliti dan integriti universiti.
“Media bukan sekadar saluran penyampai maklumat. Media adalah pembentuk persepsi awam. Dalam era maklumat bergerak sepantas kilat, peranan media arus perdana dan media profesional menjadi benteng utama kepada ketelusan dan kebenaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Sahabat Media UMS (MASMUMS 2026) yang berlangsung di Shangri-La Tanjung Aru, malam tadi. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor UMS, (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Raman Noordin.
Menurutnya, sepanjang 2025, UMS berdepan beberapa isu termasuk krisis bekalan air dan dinamika aktivisme pelajar yang turut mencetuskan perbincangan meluas di media sosial.
Namun, beliau menegaskan media telah memainkan peranan signifikan dengan melaporkan isu secara berimbang dan beretika.
“Rakan-rakan media memilih untuk mendapatkan pengesahan fakta, memberi ruang kepada pihak universiti untuk menjelaskan keadaan sebenar dan melaporkan isu secara seimbang, bukan berlandaskan emosi dan sensasi.
”Inilah yang membezakan kewartawanan berintegriti dengan penyebaran maklumat tanpa tanggungjawab,” ujarnya.
Jelasnya lagi, sepanjang tahun lalu, nilai liputan media terhadap UMS, termasuk laporan berita, wawancara dan rencana khas, jika dinilai dari sudut komersial pengiklanan dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
Namun, menurut beliau, nilai sebenar jauh lebih besar kerana ia menyumbang kepada pembinaan reputasi universiti di peringkat negeri dan nasional.
Kasim turut menegaskan sudah tiba masanya media dilihat sebagai rakan strategik dalam ekosistem universiti.
“Sudah tiba masanya kita melihat media bukan sekadar sebagai tetamu, tetapi sebagai VIP – Very Important Press dalam ekosistem universiti,” katanya.
Beliau turut menyeru kepimpinan universiti termasuk ketua jabatan dan fakulti agar terus memperkukuhkan hubungan dengan media, selain memberi maklum balas secara cepat, tepat dan profesional.
Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan UMS kepada sahabat media yang sentiasa bersama universiti itu dalam waktu mencabar mahupun ketika meraikan kejayaan, sekali gus memperkukuh sinergi antara institusi pendidikan tinggi dan dunia kewartawanan demi kepentingan masyarakat.






