Lelaki Putus Kaki Kiri Akibat Terkena Letupan Bunga Api Ketika Sambut Tahun...

Lelaki Putus Kaki Kiri Akibat Terkena Letupan Bunga Api Ketika Sambut Tahun Baharu Cina

0
SHARE

SEGAMAT: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an putus kaki kiri selepas dipercayai terkena letupan bunga api yang dimainkannya sendiri di hadapan rumahnya di Taman Damai Jaya, Bukit Siput, di sini, lewat malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Segamat, Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika mangsa bermain bunga api jenis shoot cake 4(D) 16 shot (premium) sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai bermain bunga api jenis tersebut di hadapan rumahnya sebelum ia meletup dan menyebabkan mangsa cedera parah sehingga kudung kaki kiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Segamat dan menerima rawatan di Zon Merah.

Menurut beliau, pegawai perubatan mengesahkan mangsa mengalami putus kaki kiri di bawah paras lutut, namun keadaannya kini dilaporkan stabil.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar hanya bermain bunga api yang dibenarkan serta memastikan ia dilakukan di kawasan lapang dan mematuhi langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Segamat di talian 07-9324222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Menurut laporan asal yang disiarkan oleh Sinar Harian, insiden tersebut berlaku ketika mangsa bermain bunga api sempena perayaan Tahun Baharu Cina di hadapan kediamannya.