Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad Meninggal Dunia di Usia...

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad Meninggal Dunia di Usia 84 Tahun

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid Mohamad, meninggal dunia pada usia 84 tahun, hari ini.

Perkara itu disahkan menerusi satu kenyataan rasmi keluarga Allahyarham. Bagaimanapun, butiran lanjut berhubung punca kematian belum didedahkan setakat ini.

Difahamkan, jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan urusan pengebumian dijangka dilaksanakan selepas solat Asar.

Allahyarham Tun Abdul Hamid dikenali atas sumbangan besar beliau kepada sistem kehakiman negara serta peranan penting dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus badan kehakiman sepanjang kerjayanya.

Dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang, beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi sebelum melanjutkan pelajaran menengah di St. Xavier’s Institution. Beliau kemudiannya memperoleh ijazah perundangan dari Universiti Singapura pada tahun 1969.

Allahyarham memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kehakiman sebagai majistret di Kangar, Perlis dan Tapah, Perak.

Sepanjang perkhidmatan, beliau menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi serta Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.

Beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990 sebelum dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992. Seterusnya, beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.

Kemuncak kerjayanya adalah apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada usia 65 tahun, sekali gus mengemudi badan kehakiman negara pada peringkat tertinggi.

Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada institusi kehakiman negara dan seluruh warga perundangan Malaysia.