Perkasa Produk Tempatan untuk Jadi Pemacu Ekonomi Sabah – Masidi

Perkasa Produk Tempatan untuk Jadi Pemacu Ekonomi Sabah – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU:Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, menegaskan pemerkasaan produk tempatan perlu dijadikan pemacu utama ekonomi negeri bagi memastikan pertumbuhan lebih mampan dan berdaya saing.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bersama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) yang membincangkan hala tuju pembangunan serta strategi ekonomi Sabah, di pejabatnya, di sini.

Menurutnya, produk tempatan Sabah mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih luas, namun memerlukan sokongan berterusan khususnya dari segi peningkatan kualiti, penjenamaan dan kebolehpasaran di pasaran domestik serta antarabangsa.

“Produk tempatan mempunyai potensi besar untuk diketengahkan dan perlu diberi sokongan berterusan agar mampu bersaing di pasaran yang lebih luas,” katanya.

Dalam masa sama, Masidi menegaskan kepentingan penggunaan data dan hasil penyelidikan dalam merangka dasar yang lebih berkesan, sekali gus memastikan setiap inisiatif pembangunan memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

Mesyuarat tersebut turut memberi tumpuan kepada pembentangan kajian dan cadangan dasar oleh IDS Sabah dalam memperkukuh perancangan pembangunan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Ramzah Dambul, membentangkan cadangan ‘Mekanisma Pelaksanaan, Sumber Pendapatan Baharu’ yang menekankan usaha mempelbagaikan sumber hasil negeri.

Menurut beliau, pendekatan itu termasuk memperkasa pengurusan aset secara strategik serta meneroka potensi baharu dalam sektor berimpak tinggi, bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil tradisional.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Penyelidikan IDS Sabah, Victor Sikain, bersama rombongan kakitangan institut berkenaan.