Hutang RM1,300 Jadi RM103,000, Wanita Jadi Mangsa Ugutan dan Serangan Sindiket Ah...

Hutang RM1,300 Jadi RM103,000, Wanita Jadi Mangsa Ugutan dan Serangan Sindiket Ah Long

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 56 tahun, Shamsiah, hidup dalam ketakutan selepas pinjaman kecil RM1,300 daripada pemberi pinjaman tidak berlesen berubah menjadi hutang RM103,000.

Pinjaman dalam talian itu dipercayai bermula selepas beliau terpedaya dengan iklan pelaburan.

Jumlah hutang kemudian meningkat mendadak walaupun beliau mendakwa sudah membayar RM50,000, dengan sindiket mendakwa bayaran tidak sah akibat “kod salah”.

Ugutan terhadap mangsa semakin ganas apabila rumahnya disimbah cat beberapa kali pada Disember dan Januari, sebelum pintu pagar rumahnya dibakar pada dua hari berturut-turut pada Februari.

Serangan turut melarat apabila rumah adiknya dan jiran menjadi sasaran cubaan bakar pada Mac, dipercayai sebagai tekanan untuk memaksa bayaran dibuat.

Sindiket kini menuntut RM103,000 dan mengugut untuk melancarkan serangan bersepadu ke atas 11 ahli keluarga mangsa bermula 15 April.

Dalam satu sidang media bersama Malaysian International Humanitarian Organisation (MHO), Shamsiah berkongsi trauma berterusan dan ketakutan terhadap keselamatan keluarganya.

MHO menyifatkan sindiket pinjaman haram ini sebagai rangkaian jenayah terancang yang menggunakan ugutan dan keganasan tanpa menghiraukan undang-undang atau nyawa manusia, sambil menggesa pihak berkuasa memperketat penguatkuasaan dan hukuman.