KUALA LUMPUR: Festival kesenian alternatif JABAT ERAT (Fringe Arts Festival) bakal mencetuskan fenomena dalam industri hiburan tanah air apabila menghimpunkan lebih 20 artis tempatan dan antarabangsa dalam acara selama tiga hari penuh tenaga di ODEON KL, dari 5 hingga 7 Jun ini.
Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., festival ini bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya sebuah gerakan seni tahunan yang meraikan budaya DIY (Do-It-Yourself) dan semangat independen merangkumi pelbagai aspek industri kreatif.
Pengarah Urusannya, Mozylir Mokhtarudin berkata, JABAT ERAT diwujudkan sebagai platform menghubungkan komuniti seni dari Malaysia, Asia Tenggara dan peringkat global.
“Ini adalah hub rangkaian yang menyatukan penganjur independen, pemuzik, label rakaman, peminat serta bakat baharu dalam pelbagai genre ‘rock and roll’. Kita mahu mengangkat ODEON KL sebagai pusat budaya Fringe Arts yang inklusif untuk semua peringkat umur,” katanya.
Festival itu akan menampilkan barisan artis pelbagai genre termasuk Yellow Fang (Thailand), Dom 65 (Indonesia), Megumi Acorda (Filipina), Coaltar of the Deepers (Jepun) serta nama tempatan seperti Faye Faire, Hawa, Bayangan dan Tripping Haze Ceremony, merangkumi aliran muzik seperti rock, punk, shoegaze, metal dan indie.
Selain persembahan muzik, JABAT ERAT turut memberi tumpuan kepada pembangunan komuniti kreatif dengan menyediakan ruang kepada penggiat seni bebas, label rakaman kecil serta usahawan tempatan untuk berkongsi ilmu, memasarkan produk dan membina jaringan industri.
Dalam masa sama, festival ini menyaksikan kerjasama strategik antara ODEON KL dan LOKÉT sebagai rakan rasmi tiket, yang bertujuan memperkukuh ekosistem industri kreatif melalui integrasi teknologi dan pengalaman pengguna yang lebih efisien.
Pengarah ODEON KL, Zarimah Mohamed berkata, kolaborasi itu bukan sahaja memudahkan pengurusan acara, malah menyokong penganjur serta penggiat kreatif dalam merealisasikan idea dan projek berskala besar.
Festival JABAT ERAT dijangka menarik peminat muzik, budaya dan seni dari dalam serta luar negara, selain berperanan menggilap bakat tempatan untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
Tiket festival ditawarkan pada harga pra-jualan RM118 hingga RM218, manakala jualan umum antara RM138 hingga RM238 dan boleh dibeli secara dalam talian menerusi laman rasmi penganjur.






