PENAMPANG: Seorang wanita positif dadah ditahan polis dalam satu operasi Ops Pusat Hiburan di dua premis hiburan sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Dalam operasi yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Penampang, ASP Bakar Jasa secara keseluruhan telah menjalankan pemeriksaan ke atas 38 individu terdiri daripada pekerja dan pengunjung premis.
Hasil pemeriksaan serta ujian saringan air kencing mendapati seorang wanita tempatan berumur 46 tahun disyaki positif dadah dan suspek telah ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah, selain memastikan premis hiburan sentiasa mematuhi undang-undang.
Beliau turut menasihatkan orang ramai, khususnya golongan belia, agar menjauhi penyalahgunaan dadah kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan masa depan, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang.
Polis Penampang komited dalam memastikan daerah ini kekal aman, selamat dan bebas daripada aktiviti jenayah serta penyalahgunaan dadah.






