Menteri Kesihatan Lulus Peruntukan RM7.2 Juta untuk Fasiliti Kesihatan di Sekitar Sandakan

Menteri Kesihatan Lulus Peruntukan RM7.2 Juta untuk Fasiliti Kesihatan di Sekitar Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad meluluskan peruntukan sebanyak RM7.2 juta untuk keperluan fasiliti kesihatan di sekitar daerah ini bagi memastikan penyampaian kesihatan negeri ini terus diperkukuh tanpa ada kelompok yang terpinggir.

Beliau berkata, peruntukan itu merangkumi untuk Klinik Kesihatan Sandakan; Hospital Duchess of Kent (HDOK); Klinik Kesihatan Sibuga; Klinik Desa Gum-Gum; Klinik Kesihatan Manila; Klinik Kesihatan Nunuyan Laut; serta Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) Sandakan. 

“Suntikan dana ini bukan sekadar angka, tetapi ia adalah manifestasi komitmen Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah kerangka Malaysia MADANI untuk merapatkan jurang fasiliti antara bandar dan kawasan luar bandar.

“Antara pengisian utama peruntukan ini merangkumi kelulusan sebanyak RM1 juta setiap satu, buat HDOK dan Klinik Kesihatan Sandakan.

“Dana ini akan difokuskan kepada kerja-kerja pembaikan, naik taraf infrastruktur kecil, serta perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan bagi menggantikan kelengkapan yang telah uzur,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad selepas menamatkan lawatan kerja dua hari di Sandakan.

Tambah beliau, sebanyak RM1.8 juta akan disalurkan bagi pembinaan Klinik Kesihatan baharu di Pulau Nunuyan Laut serta kerja-kerja naik taraf major bagi Klinik Desa (KD) Tanjung Aru.
Langkah ini katanya kritikal bagi memastikan penduduk di kawasan pesisir pantai mendapat akses rawatan dalam persekitaran yang lebih kondusif.
“Menyedari cabaran geografi unik di Sandakan, saya juga telah meluluskan pembelian 2 buah bot bernilai RM700,000 bagi kegunaan fasiliti kesihatan di sini.
“Ini bagi memastikan pasukan perubatan kita dapat bergerak dengan selamat dan selesa merentasi perairan Sabah untuk menyantuni pesakit di kawasan pulau.
“Setiap sen yang dilaburkan hari ini adalah pelaburan untuk masa depan rakyat. Kita mahu beralih daripada sekadar merawat (sick care) kepada pencegahan (healthcare) melalui pemerkasaan fasiliti akar umbi,” tegasnya.