Dua syarikat tersenarai antarabangsa bergabung teroka teknologi kolagen nano biri-biri Australia

Dua syarikat tersenarai antarabangsa bergabung teroka teknologi kolagen nano biri-biri Australia

0
SHARE

PETALING JAYA: Dua syarikat Malaysia yang tersenarai di pasaran antarabangsa menjalin kerjasama strategik bagi meneroka pasaran kesihatan global menerusi pembangunan teknologi kolagen nano biri-biri dari Australia.

Kerjasama itu melibatkan Holista Colltech Limited yang disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia (ASX) dan Swang Chai Chuan Limited yang tersenarai di Bursa Saham Hong Kong (HKEX) melalui penubuhan syarikat usaha sama, Ovicoll Pty Ltd.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Holista Colltech, Leong Man Loong berkata, kerjasama strategik itu bukan sahaja membuka peluang besar dalam sektor kesihatan, malah dijangka memperkukuh pasaran anti-penuaan, kesejahteraan dan aplikasi perubatan moden di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Holista Colltech, Leong Man Loong

Menurut beliau, Holista merupakan syarikat bioteknologi yang berpangkalan di Perth, Australia dan mempunyai operasi signifikan di Malaysia dengan fokus terhadap pembangunan penyelesaian kesihatan berasaskan sains.

“Holista kini menjadi satu-satunya syarikat di dunia yang mempunyai keupayaan mengekstrak kolagen daripada kulit biri-biri menerusi proses khusus yang sedang dalam permohonan paten.

“Kolagen nano biri-biri ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana sumbernya berasal daripada biri-biri Australia yang bebas penyakit, sekali gus menawarkan standard keselamatan dan ketulenan yang tinggi,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Holista Colltech dan Swang Chai Chuan di sini hari ini.

Swang Chai Chuan Limited diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Soon See Beng.

Leong berkata, penggunaan kolagen nano biri-biri juga lebih mudah diterima secara universal kerana sifatnya yang neutral daripada sudut budaya dan agama berbanding sumber kolagen konvensional lain.

Katanya, pembangunan kemudahan pengeluaran di Collie, Australia Barat bakal menjadi hab utama pengeluaran kolagen nano biri-biri bagi memenuhi peningkatan permintaan global terhadap produk kesihatan dan kesejahteraan premium.

“Fasiliti ini dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang penghujung tahun ini dan akan memainkan peranan penting dalam memperluaskan pasaran antarabangsa menerusi teknologi nano serta sistem penghantaran bahan aktif yang lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Leong turut memaklumkan bahawa Holista telah memeterai perjanjian global bersama Regenerex Pharma dalam bidang penjagaan luka, sekali gus memperkukuhkan potensi teknologi kolagen syarikat itu dalam sektor perubatan moden.

Menurutnya, kerjasama strategik antara kedua-dua syarikat berkenaan turut menggabungkan kepakaran inovasi saintifik Holista dengan kekuatan rangkaian pengedaran dan modal Swang Chai Chuan bagi mempercepat penembusan pasaran global.

“Ini bukan sekadar kerjasama perniagaan, tetapi langkah memperkenalkan inovasi yang lahir dari Malaysia ke pentas antarabangsa,” katanya.