TAWAU: Seorang bekas penyelia ladang didenda RM10,000 atau penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas didapati bersalah menghina kesopanan seorang pelatih wanita dengan bertanya sama ada mangsa “masih dara”.
Mohd Yusran Yusuf, 36, dijatuhi hukuman oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Tertuduh didapati mengeluarkan beberapa soalan berunsur seksual dengan niat menghina kesopanan mangsa berusia 23 tahun ketika mereka dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas urusan kerja di ladang.
Kejadian berlaku di kawasan Ladang Merotai Besar antara jam 3 hingga 4 petang pada 4 September 2024, di dalam sebuah kenderaan Isuzu D-Max.
Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Perbicaraan bermula pada 19 Jun 2025 dan pihak pendakwaan menutup kes pada 1 Disember 2025 selepas memanggil tujuh saksi.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh diwakili peguam Noorhaidah @ Nasra Abd Raup.






